Irfan kecewa aksi pemain Harimau Selatan

02 Mar 2016 11:00AM

KETUA jurulatih Felda United, Irfan Bakti Abu Salim ternyata kecewa dengan sikap pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) yang merebahkan badan untuk mendapatkan bola.
Jelasnya tindakan ini secara tidak langsung menjejaskan rentak permainan pasukannya ketika cuba mengatur gerakan memburu gol.
'Apa yang saya lihat pemain JDT ada yang bertindak merebahkan badan untuk mendapatkan bola, keadaan ini nyata mengubah rentak ketika kami menyerang,' jelasnya pada sidang media selepas perlawanan.
Pada perlawanan tersebut, Felda United yang bertandang ke Stadium Larkin terlebih dahulu berada didepan pada minit ke 29 hasil jaringan Lutfullah Turaev sebelum Pereyra Diaz menyamakan kedudukan ketika perlawanan baru memasuki lima minit separuh masa kedua.
Tindakan Adib Aizudin Ab Latif yang mengasari pemain lawan pada minit 60 dan 62 nyata menyebabkan pelawat terpaksa bermain 10 orang apabila pemain tersebut dilayangkan kad merah pengadil perlawanan Mohd Zohri Tajudin.
Keadaan ini dimanfaatkan sepenuhnya tuan rumah untuk terus memburu gol dan ia terhasil dengan gerakan penyudah dari pemain gantian Harimau Selatan, S Chanturu pada minit 82.
Mengulas corak permainan anak didiknya, Irfan Bakti memuji sikap pemainnya walaupun tewas 1-2 kepada lawan.
'Layangan kad merah yang diterima Adib bukanlah punca keseluruhan kekalahan kita malam ini, saya akui ia menjejaskan corak permainan pasukan.'
'Kesilapan pertahanan yang gagal mengeluarkan bola serta lewat  mengekang pergerakan Diaz menyebabkan gol pertama terhasil.'
'Perlawanan baru masuk aksi keempat, masih ada 18 lagi yang perlu diharungi, saya berpuas hati dengan aksi barisan pemain dan kita perlu segera melupakan kekalahan ini,' katanya yang kini akan menumpukan aksi pusingan ketiga Piala FA menentang PKNS FC, di Stadium Hang Jebat, Melaka, Sabtu ini.